Site icon TUHAU BAMBANGAN

JKR SABAH AKAN BERI METER PRABAYAR KEPADA PENDUDUK SETINGGAN – SHAHELMEY

PUTATAN: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah akan memberikan meter prabayar kepada penduduk setinggan melalui Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).

Menterinya Datuk Shahelmey Yahya berkata, tindakan memberikan meter prabayar itu adalah bagi mengatasi isu kes kecurian bekalan air oleh penduduk setinggan di beberapa kawasan di Sabah.

Katanya, pemberian meter prabayar ini akan dilaksanakan dalam tahun ini seperti mana meter prabayar elektrik yang juga sudah diberikan kepada penduduk setinggan sebelum ini.

Shahelmey pada masa sama turut menegaskan bahawa pihaknya akan mempertingkatkan penguatkuasaan melalui JANS bagi mengawal isu kecurian air oleh bukan sahaja penduduk setinggan namun juga oleh para peniaga.

“Memang kita ada menerima laporan bahawa ada peniaga-peniaga yang mencuri air. Sejauh mana betulnya tuduhan tersebut kita kena buat sebab kita bertindak ikut lunas undang-undang.

“Kita tidak boleh bertindak dengan hanya berdasarkan tuduhan tanpa bukti. Tuduhan atau dakwaan kita terima sebagai maklumat awalan.

“Kita semak, teliti, tapis, siasat dan sekiranya betul kemudian tindakan sewajarnya akan dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Tapak Projek Cadangan Menaik taraf dan membaik pulih mini stadium Majlis Daerah Putatan di Putatan pada Rabu.

Exit mobile version