Site icon TUHAU BAMBANGAN

2 KRITIKAL, 18 DIRAWAT, PELAJAR DI PITAS MINUM ‘SPIRIT’ GANTI ARAK

PITAS: Dua pelajar kritikal, manakala 18 lagi rakan mereka menerima rawatan selepas meminum minuman berkarbonat yang disyaki dicampur dengan ‘spirit’.

Dilaporkan dalam kejadian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pitas, pelajar berkenaan secara beramai-ramai telah meminum minuman berkenaan sehingga menyebabkan mereka mengalami keracunan hidrokarbon ‘spirit’ pada Selasa lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Zairolnizal Ishak, pihaknya menerima laporan daripada pihak Hospital Pitas pada Jumaat yang memaklumkan bahawa terdapat seramai 20 pelajar telah dimasukkan ke dalam wad kecemasan.

Katanya, hasil daripada temu bual saksi yang terdiri daripada kalangan pelajar yang dirawat, salah seorang pelajar ada membeli satu botol minuman berkarbonat dan dua botol spirit dari kedai berhampiran sekolah.

“Tujuan kedua-dua cecair tersebut dibeli adalah untuk mendapat kesan yang sama dengan arak memandangkan kawasan sekitar asrama tidak menjual arak.

“Selepas kedua-dua bahan itu dicampur, pelajar berkenaan telah meminumnya secara beramai-ramai di dalam bilik asrama namun tiga daripadanya mengalami sakit perut dan mengadu kurang sihat kepada warden asrama,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Tambah beliau, warden asrama kemudian membawa pelajar berkenaan ke sebuah klinik komuniti untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

“Mereka kemudian dibenarkan pulang dan diarahkan datang semula jika gejala semakin teruk.

“Bagaimanapun, kira-kira jam 6.30 pagi Khamis, tiga pelajar terbabit telah dibawa ke unit kecemasan Hospital Pitas di mana dua daripadanya mengalami kekejangan otot serta mengalami sesak nafas.

“Kedua-dua pelajar itu kemudian dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth I dan II di unit rawatan rapi (ICU) manakala 18 pelajar lain masih mendapat rawatan di Hospital Pitas dan dalam keadaan stabil,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pada awalnya pihak hospital mengesyaki gejala yang dialami pelajar itu adalah mabuk metanol daripada mana-mana cecair arak.

Namun, selepas mengesan botol minumam berkarbonat yang diberikan mangsa, kes diklasifikasikan sebagai keracunan hidrokarbon memandangkan ia berasaskan petroleum.

Selain itu, dikatakan terdapat juga saksi mengesahkan bahawa seorang pelajar datang ke kedai lalu membeli cecair spirit dan satu botol minuman berkarbonat.

Exit mobile version