Site icon TUHAU BAMBANGAN

BUAT NOTA DENGAN CIPTA LAGU RAHSIA KEJAYAAN PELAJAR CEMERLANG SPM

KOTA KINABALU: Membuat nota rujukan dengan cara mencipta lagu pada setiap mata pelajaran yang tertentu untuk dihafal merupakan rahsia, Nurhazimah Hamzah, 18 tahun, mendapat keputusan 8A+ dan 3A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Anak kedua dari empat beradik yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Islamiah Tawau Sabah disini tidak menyangka mendapat keputusan tersebut kerana beliau bukanlah pelajar yang ditargetkan untuk mendapat keputusan cemerlang.

“Saya tidak dapat jangka kerana saya bukanlah pelajar yang ditarget dapat stragiht A, tetapi saya bersyukur kerana diberi peluang naik ke pentas menjadi top pelajar di Sabah.

“Ketika saya belajar, kadang-kadang saya belajar ‘last minute’, jadi cara saya adalah dengan buat banyak latih tubi, kedua tengok YouTube di mana guru-guru mengajar.

“Mungkin saya suka makan sambil dengan YouTube guru mengajar dan ketiga saya suka buat nota di mana saya cipta lagu untuk setiap mata pelajaran yang tertentu di mana saya boleh hafal,” katanya ketika ditemui media pada Khamis.

Manakala, Ariff Syafiq Ajie Prasastie, 18 tahun yang juga merupakan pelajar cemerlang dari SMK Agama Kota Kinabalu berkata, beliau akan memperuntukan masa belajar satu hingga ke dua jam setiap hari dan selalu berkongsi ilmu dengan rakan-rakan.

Ariff Syafiq bersama ibunya

“Saya akan belajar sejam, lepas itu saya rehat dalam setengah jam begitu, baru saya akan sambung belajar lagi sejam. Kadang-kadang saya akan belajar dua jam, ikut mood lah.

Ariff yang bercita-cita untuk menjadi seorang doktor kini berhasrat untuk melanjutkan pelajaran ke Jordan dan seterusnya mahu meneruskan legasi ayahnya yang kini memiliki dua klinik di negeri itu.

Bagi ibu kepada Nabil Izzat Mohd Talip, seorang pelajar yang menghidap penyakit Mild Autisme, iaitu Siti Napsiah Kiflin, 52 tahun turut berkongsi kegembiraan apabila anaknya berjaya menjadi pelajar cemerlang SPM dari SMK Tansau, Putatan.

Nabil Izzat bersama ibunya

“Dia seorang anak yang baik dan mudah diurus, cepat belajar, cepat faham dan ingat. Itulah mungkin istimewa dia cepat faham dan kuat ingat, walaupun baru sekali cikgu itu mengajar,” katanya.

Untuk rekod, peratus calon yang layak menerima pensijilan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi negeri Sabah pada tahun 2022 telah meningkat kepada 92.36 peratus berbanding 89.76 peratus pada tahun 2021.

Exit mobile version