Site icon TUHAU BAMBANGAN

PERATUS CALON LAYAK TERIMA PENSIJILAN SPM MENINGKAT KEPADA 92.36%

KOTA KINABALU: Peratus calon yang layak menerima pensijilan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi negeri Sabah pada tahun 2022 telah meningkat kepada 92.36 peratus berbanding 89.76 peratus pada tahun 2021.

Timbalan Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Mohd Zaini Yanin berkata, peningkatan itu berlaku sebanyak 2.61 peratus.

“Manakala dari segi Gred Purata Negeri (GPN) pula, juga menunjukkan peningkatan yang lebih baik dengan 5.22 pada tahun ini berbanding 5.35 pada tahun 2021, iaitu perbezaan sebanyak 0.13 mata.

“Dari segi kualiti pula, peningkatan itu nampak ketara pada tahun ini dan kita cuba melihat secara lebih khusus apa-apa perkara yang perlu ditambah baik terutama keputusan yang melibatkan mata pelajaran yang kita sebutkan tadi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pengumuman Keputusan SPM tahun 2022 di SMK Agama Kota Kinabalu pada Khamis.

Zaini berkata, Pensijilan Calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK) turut menunjukkan peningkatan keputusan yang baik.

“Seramai 146 orang calon CBPK, iaitu dalam kalangan Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) telah menduduki peperiksaan SPM tahun 2022.

“Berdasarkan jumlah tersebut, sebanyak 58.9 peratus CBPK layak memperoleh sijil SPM pada tahun 2022 berbanding 48.8 peratus pada tahun 2021. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 10.1 peratus, iaitu 23 calon,” katanya.

Untuk rekod keseluruhan, daripada 34,461 calon yang menduduki peperiksaan SPM, seramai 344 calon memperoleh keputusan cemerlang (gred A+, A, dan A-) dalam semua mata pelajaran berbanding 253 calon pada tahun 2021, iaitu peningkatan sebanyak 91 calon.

Peperiksaan yang diadakan pada awal tahun ini turut membabitkan sebanyak 74 mata pelajaran yang diduduki calon di negeri itu dengan melibatkan 142 kertas peperiksaan.

Exit mobile version