Site icon TUHAU BAMBANGAN

WANITA MAUT DITIKAM BEKAS TUNANG SEBANYAK 8 KALI

KOTA KINABALU: Seorang wanita maut dipercayai ditikam bekas tunangnya dalam kejadian di sebuah premis di pusat membeli belah di Kota Kinabalu semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.15 tengahari itu, mangsa yang berusia 22 tahun ditemui dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah.

Pemangku Ketua Polis Daerah IPD Kota Kinabalu, Superitendan Kalsom Idris berkata, pihaknya menerima panggilan telefon dari seorang lelaki yang menyatakan telah tertikam bekas tunangnya dengan menggunakan sebilah pisau.

“Berikutan itu, pihak polis telah bergegas le lokasi kejadian dan mendapati seorang wanita terbaring dan berlumuran darah dengan kesan kecederaan yang dipercayai kesan tikaman.

“Turut berada di lokasi suspek, iaitu seorang lelaki yang merupakan bekas tunang mangsa telah ditahan oleh pihak pengawal keselamatan pusat membeli belah itu sebelum menyerahkannya kepada pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Jelas Superitendan Kalsom, hasil siasatan mendapati punca kejadian adalah cemburu dan suspek merasa tidak puas hati kerana mangsa memutuskan hubungan mereka dua hari sebelum kejadian.

“Oleh itu, suspek cuba memujuk mangsa di tempat kerja, namun mangsa enggan meneruskan hubungan mereka atas sebab peribadi.

“Disebabkan itu, suspek berang hingga bertindak menikam mangsa sebanyak 8 kali pada bahagian tubuh mangsa hingga menyebabkan kematian,” ujarnya.

Tambah beliau, paramedik yang berada di tempat kejadian telah cuba menyelamatkan mangsa dengan memberi bantuan pernafasan namun mangsa tidak dapat diselamatkan dan disahkan meninggal dunia pada jam 1 petang.

“Mayat kemudian dihantar ke unit forensik Hospital Queen Elizabeth I untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

“Manakala suspek ditahan reman bagi membantu siasatan dan polis merampas senjata yang dipercayai digunakan suspek untuk menikam mangsa,” katanya.

Kes kemudian disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Exit mobile version