Site icon TUHAU BAMBANGAN

DUN SABAH: KERAJAAN NEGERI SASAR TAMBAH KAPASITI TENAGA SOLAR SEBANYAK 100MW

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah menyasarkan penambahan kapasiti tenaga solar kepada 100 MegaWatt sehingga tempoh 2027.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, bagi memastikan kestabilan grid Sabah, kapasiti solar uang boleh disambung dan disalurkan ke grid Sabah adalah dihadkan kepada 22 peratus.

“Kapasiti tenaga solar yang boleh disambung dan disalurkan ke grid Sabah adalah dihadkan kepada 22% daripada kehendak maksima sistem grid (iaitu dihadkan kepada 220MW sahaja ketika ini) memandangkan kepada kuasa tenaga solar yang tidak konsisten dan bergantung dengan keadaan sinaran matahari.

“Oleh itu, sasaran tambahan kapasiti tenaga solar yang dirancang oleh Kerajaan Negeri pada masa akan datang adalah terhad iaitu sekitar 100 MW sehingga tempoh 2027.

“Walau bagaimanapun, kapasiti tenaga solar yang disalurkan ke grid elektrik negeri Sabah boleh ditingkatkan lagi sekiranya teknologi sistem simpanan tenaga bateri (Battery Energy Storage System) digabungkan bersama teknologi tenaga solar bila masa teknologi ini matang dan berdaya saing di masa akan datang,” katanya dalam sidang DUN Sabah pada Rabu.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan dari Datuk Seri Yong Teck Lee (ADUN Dilantik) yang bertanya berapakah megawatt tenaga dari solar yang kini dijana di Sabah dan apakah sasaran tenaga dari solar yang diperlukan Sabah.

Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, kapasiti tenaga solar di negeri itu kini adalah sebanyak 84 MegaWatt (MW).

Jelasnya, jumlah megawatt itu terdiri daripada Projek Solar Berskala Besar, iaitu projek solar yang berkapasiti melebih 1MW dan berjumlah sebanyak 50MW kini beroperasi di Kudat sejak tahun 2018 dan Projek Solar Photovoltaic (Solar PV) berkapasiti 1MW dan ke bawah sebanyak 796 pepasangan jenis individu, komersial, dan komuniti yang berjumlah sebanyak 34MW.

“Manakala kapasiti Solar Berskala Besar yang sedang dalam pelaksanaan adalah 62MW dan dijangka siap pada tahun 2024 di beberapa lokasi.

“Lokasi itu termasuklah satu projek di Beaufort berkapasiti 6MW, satu projek di Kunak berkapasiti 5MW, dua projek di Sandakan dengan jumlah kapasiti 20MW, tiga projek di Tawau dengan jumlah kapasiti 16MW dan dua projek di Labuan dengan jumlah kapasiti 15MW.

“Oleh itu, jumlah besar tenaga solar yang telah dan akan beroperasi di dalam grid Sabah adalah sekitar 146MW atau 11% daripada jumah kapasiti penjanaan seluruh grid Sabah,” jelasnya.

Exit mobile version