Site icon TUHAU BAMBANGAN

DUN SABAH: JKR PERLU LAKUKAN INTERVENSI PASTIKAN PAN BORNEO SIAP 2024

KOTA KINABALU: Kerajaan dan jabatan-jabatan perlu mengambil tanggungjawab penuh memahami seterusnya berusaha menyelesaikan masalah infrastruktur yang membelenggu rakyat di Sabah.

Mengambil contoh pembinaan pakej Lebuh Raya Pan Borneo dan jalan-jalan kampung, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Yusof Yacob tidak yakin 15 pakej Fasa Satu yang dijangka siap penghujung tahun 2024 akan tercapai.

Hal ini katanya berdasarkan tinjauan apabila melihat cara kontraktor bekerja, tidak profesional, tidak mengikut susunan selain memberikan kualiti yang rendah.

“Kontraktor juga tidak ada tanggungjawab terhadap keselamatan pengguna dengan membiarkan kerosakan dan dalam keadaan bahaya berpanjangan.

Ia sekali gus menyebabkan pengguna terlibat kemalangan dan kerosakan pada kenderaan pengguna,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di DUN Sabah.

Walau bagaimanapun, beliau optimis jaminan Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Shahelmey Yahya bahawa 15 pakej fasa satu itu siap 2024 hanya akan tercapai jika ada intervensi daripada pihak kementerian.

Ia menurut beliau termasuk peranan Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam memantau secara dekat pelaksanaan projek, memastikan kerja mengikut jadual dan kerosakan jalan perlu diperbaiki segera.

“Saya tidak yakin ia boleh disiapkan pada penghujung tahun hadapan kecuali ada intervensi ataupun usaha-usaha lain untuk mempercepatkan proses ini.

“Jika pada yang ada, sekarang saya melihat ia ada lagi kelewatan dan saya berharap mudah-mudahan pada hujung tahun hadapan pakej itu boleh siap dan kita boleh mulakan pakej yang baharu,” jelasnya.

Selain itu, Yusof yang juga Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad proaktif dalam menyelesaikan masalah infrastruktur lain seperti bekalan air, elektrik dan capaian internet di negeri itu.

Exit mobile version