Site icon TUHAU BAMBANGAN

ADUN Petagas keluar Warisan, sertai Gagasan Rakyat

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah Sahari hari ini, mengumumkan keluar dari parti Warisan dan menyertai parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

Jelasnya, tindakan itu dilakukan kerana mengambil kira kepentingan rakyat serta pembangunan di kawasan yang diwakilinya.

“Jadi saya telah memikirkan selama tiga bulan, saya berbincang dengan rakan-rakan dan nampaknya saya tidak ada sedikit keraguan pun, kerana ini bukan saya sahaja yang keluar daripada parti warisan dan bolehlah disifatkan keseluruhan pimpinan sebulat suara untuk menyokong perpindahan ini kepada parti Gagasan Rakyat.

“Dalam masa sama saya tidak banyak memikirkan soal diri saya, saya bukan orang kaya tapi kalau hanya sekadar saya sendiri sebagai seorang individu mahu pun wakil rakyat, saya tidak mempunyai masalah untuk meneruskan kegiatan politik saya.

“Kita ada dua tahun setengah lagi, tempoh yang ada kerajaan pada hari ini dan saya juga sudah berumur 63 thun, saya mahu tidak mahu, mesti memikirkan masalah rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media ADUN N23 Petagas di Kota Kinabalu pada Isnin.

Awang yang juga Bendahari Warisan, memaklumkan telah berjumpa dengan Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Hajiji Noor bagi membincangkan beberapa perancangan.

“Saya telah berjumpa dengan Ketua Menteri dan beliau mempunyai perbincangan yang penting kepada saya dan saya bersetuju dengan apa yang beliau rancang.

“Beliau juga memohon agar saya dapat, kalau boleh dalam pimpinan di peringkat DUN Petagas dan di peringkat DUN Tanjung Aru untuk bekerjasama kepada sesiapa saja yang menjadi ahli Gagasan Rakyat,” jelasnya.

Beliau turut menyerahkan sepenuhnya kepada Hajiji untuk membuat keputusan dalam konteks kepimpinan di kedua-dua DUN tersebut.

Selain itu, beberapa pimpinan di peringkat Wira warisan negeri Sabah juga membuat keputusan untuk bersama-sama meninggalkan parti dan menyertai Gagasan Rakyat.

Terdahulu tiga bekas ahli Warisan turut mengumumkan keluar parti dan menyertai Gagasan Rakyat.

Mereka ialah, Mohammad Mohamarin (Banggi), Chong Chen Bin (Tanjong Kapor), dan Norazlina Arif (Kunak).

Exit mobile version