Site icon TUHAU BAMBANGAN

Pimpinan Bersatu Sabah sebulat suara tinggalkan Bersatu, tubuh parti baru

KOTA KINABALU: Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Sabah mengambil keputusan untuk keluar dan meninggalkan parti itu.

Bekas Pengerusi Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, keputusan itu dibuat setelah mempertimbangkan keadaan landsakp politik dalam negara khususnya di Sabah.

“Kerajaan Negeri yang ditunjangi oleh Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) juga telah mengambil kira nasihat Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Pertimbangan terbaik untuk pembentukan Kerajaan Perpaduan Persekutuan yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim satu daripadanya adalah untuk kestabilan politik dan pemulihan ekonomi,” katanya dalam kenyataan media pada Sabtu.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, keputusan itu adalah demi kepentingan Sabah serta perpaduan dan memenuhi hasrat aspirasi rakyat untuk berjuang di bawah naungan parti tempatan.

“Dengan ini kami akan menggunakan GRS untuk menyuarakan kepentingan Sabah dan negeri-negeri Borneo di Malaysia.

“Melangkah ke hadapan, kami akan menubuhkan sebuah parti tempatan baharu, namun untuk sementara ini kami secara kolektif akan menjadi ahli GRS.

“Kami berikrar untuk untuk beri sokongan penuh kepada Kerajaan Perpaduan dan kami yakin dengan kepimpinan dan kebijaksanaan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memimpin negara,” katanya.

Sementara itu, Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah turut berkata, bahawa adalah menjadi komitmen pihaknya bersama Sarawak sebagai Blok Borneo untuk melihat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dilaksanakan sepenuhnya.

Tambah Hajiji, alasan pimpinannya meninggalkan Bersatu adalah atas dasar bahawa it tidak lagi boleh dipertahankan untuk kekal sebagai status quo.

“Ini kerana di peringkat Persekutuan, Bersatu adalah pembangkang manakala GRS sudah berikar menyokong Kerajaan Perpaduan,” jelasnya.

Hajiji sekali lagi menegaskan bahawa Sabah menginginkan kestabilan politik.

Exit mobile version