Site icon TUHAU BAMBANGAN

Perintah berkurung di ESSZONE, dilanjutkan hingga 21 Disember

KOTA KINABALU: Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Eastern Sabah Security Zone (ESSZONE) yang berakhir pada Selasa, dilanjutkan sehingga 21 Disember depan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, perintah berkurung itu meliputi perairan di daerah Sandakan, Beluran, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

Beliau berkata, perintah berkurung yang diisyitharkan itu akan berkuatkuasa antara jam 6 petang sehingga jam 6 pagi.

“Perintah ini diteruskan bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak dicerobohi oleh pengganas yang mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa dan pelancong asing yang melawat pulau peranginan.

“Ini kerana, maklumat mendedahkan kumpulan yang menjalankan kegiatan Kidnapping For Ransom (KFR) dan Kumpulan Abu Sayaf masih cuba menceroboh untuk melakukan penculikan dan lain-lain jenayah rentas sempadan,” katanya dalam kenyataan media pada Selasa (6 Dis).

Pada masa yang sama, Idris turut berkata, bahawa perintah berkurung itu juga bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan mereka yang berada di kawasan daratan ESSZONE.

“Ia juga bagi memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot serta menimbulkan rasa selamat kepada chalet dan aktiviti-aktiviti perikanan.

“Saya juga memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah (KPD) yang terlibat untuk mengeluarkan permit kepada mana-mana pemohon yang memenuhi syarat bagi tujuan aktiviti perikanan atau laluan melalui kawasan perintah berkurung yang mendesak,” jelasnya.

Exit mobile version