Site icon TUHAU BAMBANGAN

Tongod bakal pengeluar daging khinzir terpenting di rantau Asia Pasifik – Masiung

TONGOD: Daerah Tongod bakal menjadi pengeluar utama produk daging khinzir yang terpenting di rantau Asia Pasifik sebaik sahaja projek ternakan khinzir seluas 500 hektar dibina di kampung Entilibon bermula pertengahan tahun hadapan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, sebuah syarikat tempatan telah bersetuju menjalin kerjasama dengan Kerajaan Negeri berhubung pelaburan projek bernilai RM200 juta itu.

Datuk Masiung Banah (ADUN Kuamut)

“Operasi projek veteriner itu menggunakan sepenuhnya teknologi moden daripada negara Denmark,” katanya dalam ucapan perasmian Majlis Dialog bersama penduduk terlibat di Dewan Terbuka Kampung Entilibon pada Selasa (6 Dis).

Katanya, industri penternakan itu kemudiannya akan dibina dengan kilang pemprosesan dan pembungkusan daging khinzir bermutu tinggi bagi tujuan pasaran dalam dan luar negara.

Jelasnya, pemilik tanah yang terbabit dengan projek itu telah selesai diberi pampasan selepas bersetuju menandatangani perjanjian dengan syarikat pemaju selama 50 tahun.

Masiung berkata, bagi fasa pertama projek itu, akan mengambil masa dua tahun yang merangkumi 200 hektar tanah, manakala selebihnya (300 hektar) akan dilaksanakan dalam fasa seterusnya.

Syarikat pemaju projek itu turut bersetuju mengambil pekerja tempatan di kalangan penduduk daerah Tongod sambil memberi peluang kepada kontraktor Bumiputera menjalankan kerja-kerja berskala kecil dan sederhana.

Kewujudan industri veteriner itu mampu mewujudkan lebih 1000 peluang pekerjaan dan dijangka boleh memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat.

Beliau sekali lagi mengingatkan kepada syarikat pemaju agar memberi keutamaan kepada warga Kuamut untuk bekerja di syarikat tersebut.

Exit mobile version