Site icon TUHAU BAMBANGAN

Hajiji nyatakan sokongan kepada PM Ke-10, Anwar Ibrahim

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang mewakili kerajaan negeri dan juga Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah menyatakan sokongan beliau kepada Perdana Menteri (PM) Ke-10 Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jelas Hajiji, sokongan yang diberikan itu adalah demi menjaga kepentingan rakyat Sabah sekali gus mengekalkan kestabilan politik di negeri itu.

“Saya telah sampaikan hasrat kerajaan negeri di bawah pimpinan saya dan juga gabungan dari Sabah, GRS kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi.

“Ini adalah untuk kebaikan negeri Sabah, kestabilan politik dan sebagainya maka kita telah memberikan sokongan kepada beliau dan juga kerajaannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas membentangkan Belanjawan 2023 Sabah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Jumaat.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai status pelan pembangunan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang berada di bawah gagasan kerajaan naungannya Hajiji berkata, pelan tersebut akan diteruskan sehingga tempoh tiga tahun pemerintahan kerajaan negeri tamat bagi memastikan kepentingan negeri dan rakyat tercapai.

“Kita ada tiga tahun lagi untuk memerintah negeri Sabah, jadi kita tidak mahu terlalu berpolitik sehingga menganggu proses pentadbiran kerajaan negeri.

“Kerana bagi kita yang penting adalah rakyat dan juga negeri,” tegasnya.

Terdahulu, kedudukan kerajaan negeri Sabah di bawah naungan GRS dan Barisan Nasional (BN) Sabah menjadi tanda tanya selepas kedua gabungan itu mengalihkan sokongan kepada dua parti yang berbeza di peringkat persekutuan, iaitu Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

GRS sebelum ini menyatakan sokongan terhadap PN manakala BN Sabah pula menyatakan sokongan terhadap PH.

Bagaimanapun, persoalan itu akhirnya terjawab apabila Hajiji menyatakan sokongannya kepada Anwar Ibrahim.

Exit mobile version