Site icon TUHAU BAMBANGAN

GRS setuju sertai kerajaan perpaduan – Anwar

PUTRAJAYA: Hari ini dimaklumkan bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) setuju menyertai kerajaan perpaduan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan perpaduan pimpinannya telah mencapai majoriti dua pertiga melalui penyertaan terkini oleh GRS.

Jelasnya, perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor yang juga merupakan Pengerusi GRS.

“Ini akan memperkukuh kestabilan politik negara dan boleh menumpukan perhatian dalam kerja-kerja mengangkat martabat negara, mengukuhkan ekonomi dengan maksud untuk membela nasib rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada hari pertamanya memasuki Pejabat Perdana Menteri di Perdana Putra pada Jumaat.

Jumlah kerusi yang diperlukan bagi mendapat majoriti dua pertiga Dewan Rakyat adalah 148 kerusi.

Mengenai pembentukan Kabinet pula Anwar berkata saiznya akan diperkecilkan dan beliau akan meminta persetujuan daripada ahli-ahli yang dilantik kemudian untuk mengurangkan gaji mereka.

Tambahnya, pembentukan Kabinet masih dalam perbincangan dan akan diumumkan secepat yang mungkin.

Exit mobile version