Site icon TUHAU BAMBANGAN

Tanah Runtuh: 6 staff SESB terperangkap di Stesen Janakuasa Tenom

TENOM: Seramai enam orang kakitangan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) terperangkap di Stesen Janakuasa Hidro Tenom Pangi akibat tanah runtuh yang berlaku pada pagi Selasa.

Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba dan Penyelamat Sabah, kejadian tersebut turut mengakibatkan bahagian pagar utama bangunan tertimbus serta beberapa buah kenderaan dan motosikal.

“Terdapat enam mangsa lelaki dilaporkan terperangkap di kawasan Power House 5 kilo meter dari pagar utama bangunan.

“Tindakan pasukan bomba berjalan kaki ke lokasi mangsa dan berjaya menemui mangsa di KM1 dari pagar utama,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Kesemua mangsa dilaporkan ditemui berada dalam keadaan selamat dan telah dipindahkan dari kawasan kejadian.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Ir Ts Mohd Yaakob Jaafar memaklumkan bahawa stesen itu terpaksa ditutup oleh pihaknya bagi tujuan faktor keselamatan selain memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku.

“Sabah Electricity mengesahkan berlaku beberapa kejadian tanah runtuh di sepanjang jalan masuk ke Stesen Janakuasa Hidro Tenom Pangi yang membawa limpahan air dan bongkahan batu besar yang menimbus jalan masuk dan ‘gate intake’ akibat hujan lebat berterusan sejak semalam.

“Atas faktor keselamatan, SESB terpaksa menutup operasi stesen Janakuasa Hidro Tenom Pangi,” jelasnya.

Tambah beliau, pelan tindakan kecemasan telah diaktifkan oleh pihak SESB dan kejadian bencana itu tidak menjejaskan bekalan elektrik pada Sistem Grid Sabah.

Exit mobile version