Site icon TUHAU BAMBANGAN

PRU15: MBS mahu Dewan Rakyat tampilkan 50% ahli parlimen daripada kalangan belia

KOTA KINABALU: Majlis Belia Sabah (MBS) berharap agar komposisi Dewan Rakyat selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menampilkan sekurang-kurangnya 50-60% ahli parlimen daripada kalangan orang muda.

Jelas Presidennya Abqaree Fawwaz Abekan, ini akan mendorong penyertaan generasi Y dan Z secara langsung ke dalam pentas demokrasi negara.

Tambah Abqaree, PRU pada kali ini bakal menyaksikan seramai 932,541 pengundi muda dalam lingkungan umur 18 hingga 39 tahun di Sabah akan menunaikan tanggungjawab pada 15 dan 19 November.

“Jumlah tersebut mewakili 55.2 peratus daripada jumlah keseluruhan daripada 1,689,387 orang pengundi di Sabah. Sabah turut mencatatkan bilangan pengundi muda kelima tertinggi di seluruh Malaysia berdasarkan statistik terkini yang dikeluarkan oleh SPR pada 9 Oktober.

“Berdasarkan pemerhatian MBS sepanjang perlaksanaan Program Literasi Politik (Undi-18) di 6 zon seluruh Sabah pada tahun ini, MBS menganggarkan lebih kurang 70% pengundi muda di negeri ini mempunyai tahap kefahaman politik yang rendah dalam konteks pengetahuan sejarah, parti-parti politik, dan kepentingan melibatkan diri dalam pentas demokrasi.

“Namun, apa yang jelas, hasrat belia di Sabah pada ketika ini menginginkan suara mereka diangkat oleh pemimpin yang sebaya, lantang dan mampu menggalas tanggungjawab mereka di peringkat nasional.” katanya.

Abqaree berkata, dengan mengambil kira sentimen pengundi muda di Sabah yang dahagakan pembangunan ekonomi, infrastruktur dan taraf hidup yang lebih baik seperti di Semenanjung, MBS harap agar parti-parti politik yang bertanding dapat menawarkan polisi yang bertanding dapat menawarkan pembangunan yang inklusif, realistik dan efektif selepas membantuk kerajaan du peringkat Persekutuan.

“MBS turut menyeru kepada semua pengundi muda di Sabah agar memilih pemimpin di parlimen masing-masing berpandukan pertimbangan yang adil dan saksama.

“Jangan hanya terpengaruh dengan ucapan berasaskan sentimen semata-mata yang sering dimainkan di mana- mana pentas politik setiap kali pilihan raya.” tegasnya

MBS pada masa yang sama turut menggesa para pengundi muda di seluruh Sabah untuk menolak calon yang diketahui terlibat dengan rasuah.

Exit mobile version