Site icon TUHAU BAMBANGAN

Kejatuhan harga getah tidak pernah disemak sejak 7 tahun lalu -Masiung

TONGOD: Seorang pemimpin kerajaan hari ini menyuarakan kejatuhan harga getah sekerap sekarang yang masih kekal dengan harga lantai RM2.50 sekilo sejak 2016 dan ini tidak lebih dari nilai sekilo garam.

Wakil Rakyat (Bebas) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, kejatuhan nilai komuditi itu merupakan penyusutan paling rendah dalam sejarah negara sejak tempoh 20 tahun lalu.

Beliau mengingatkan, kerajaan tidak boleh melihat sebelah mata, kerana merujuk harga lantai terkini, iaitu RM2.50 sekilo ditetapkan oleh Kementerian Perusahan Perladangan dan Komuditi (KPPK) dan ianya tidak pernah disemak sejak tujuh tahun lalu.

“Ia dilihat sebagai diskrimanasi kepada pekebun kecil getah, sedangkan harga bahan kimia yang melibatkan komuditi itu seperti racun rumpai, baja dan cuka getah telah melambung naik hampir 100 peratus.

“Lebih parah lagi pendapatan kecil penoreh getah turut diselubungi dengan kos sara hidup yang semakin tinggi pada masa ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Masiung turut menggesa Kerajaan Negeri dan Persekutuan menaikan harga lantai baharu getah sekerap sehingga RM3.50, selain melanjutkan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) dalam penyediaan Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada Oktober depan.

Menurutnya, kerajaan perlu mengambil berat terhadap penyusutan harga komuditi ini kerana getah merupakan penyumbang ekspot ke enam terbesar negara.

Masiung memberi amaran, jika kedua-dua kerajaan tidak melihat isu ini dalam penyediaan Belanjawan 2023, sudah pasti warga pekebun getah rasa terabai sekaligus mempengaruhi corak politik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang akan datang.

Masiung yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Sabah berkata, ekoran kejatuhan harga getah sekerap kini ramai pekebun kecil getah telah beralih kepada komuditi lain.

“Jika isu ini berterusan pengeluaran eksport getah negara akan terus merundum sebagai pengeluar utama getah asli dunia.

“Bagi mengelakkan lebih ramai pekebun getah beralih ke bidang lain, kerajaan perlu melakukan formula baharu untuk menaikan harga lantai komuditi itu,” tambahnya.

Beliau mahukan agensi berkaitan seperti Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahan Getah (RISDA) dan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) mengambil tanggungjawab terhadap kejatuhan harga komuditi berkenaan.

Exit mobile version