Site icon TUHAU BAMBANGAN

Laluan Kayuhan Merdeka sejauh 304.4KM libatkan 9 daerah di Sabah

KOTA KINABALU: Kayuhan Merdeka oleh Komuniti Rukun Tetangga (KRT) Kampung Inanam Laut telah menyemarakkan lagi ambang sambutan hari kemerdekaan di Sabah.

Difahamkan jarak laluan Kayuhan Merdeka itu adalah sejauh 304.4 kilometer dengan melibatkan 9 daerah serta memakan masa selama 2 hari untuk menyelesaikan kayuhan itu.

Presiden Majlis Belia Sabah (MBS), Abqaree Fawwaz Abekan berkata penganjuran program seperti itu adalah sangat baik dan inisiatif komuniti itu juga pelru dipuji.

Presiden Majlis Belia Sabah, Abqaree Fawwaz Abekan

“Program-program sebegini merupakan sesuatu yang sangat baik untuk mendidik komuniti kita secara tidak langsung.

“Paling penting semangat patriotisma yang ditunjukkan oleh komuniti ini perlu dipuji kerana mereka mengambil sendiri inisiatif untuk mengadakan program-program seumpama ini dan paling penting cara kita menghayati sambutan kemerdekaan.

“Tidak hanya tertumpu dengan aktiviti sukan, mungkin pelbagai lagi aktiviti-aktiviti yang boleh kita lakukan tapi yang paling penting tujuannya adalah untuk kita meraikan bulan kemerdekaan ini.” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Kayuhan Merdeka KRT di Kampung Inanam Laut, di sini, hari ini.

Sementara itu, Abqaree berkata MBS juga kini sedang dalam rangka untuk melebarkan sayap komunitinya.

“Suka saya untuk menyebut tentang keterlibatan MBS dalam program seperti ini kerana ketika ini kami sedang dalam rangka untuk melebarkan sayap komuniti ini.

“Kita perlu lebih banyak menyantuni anak-anak muda di luar sana melalui pelbagai aktiviti sihat seperti program seperti ini kita telah bekerjasama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bersama Jabatan Perpaduan.” jelasnya.

Tambah beliau, MBS juga perlu menyantuni golongan ini bagi memastikan program-program pembangunan belia dapat disampaikan ke peringkat akar umbi.

Exit mobile version