Site icon TUHAU BAMBANGAN

Kerajaan Sabah sudah sedia hadapi Monsun Timur Laut

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah telah bermesyuarat bagi membincangkan persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka akan bermula pada November hingga Februari 2023.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong berkata, kerajaan negeri sudah bersiap sedia dalam menghadapi MTL dengan kekuatan seramai 8,432 pegawai dan anggota dari setiap agensi yang terlibat di Sabah.

“Sebanyak 928 pengangkutan darat, 206 pengangkutan air dan 8 logistik udara telah pun dikenal pasti dan disediakan untuk menghadapi sebarang bencana banjir akibat daripada MTL.” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media mesyuarat jawatankuasa pengurusan bencana negeri Sabah di Kota Kinabalu pada Isnin.Safar berkata sebanyak 608 lokasi utama yang sering berlaku bencana banjir turut dikenal pasti.

“Manakala, bagi kawasan yang sukar diakses menggunakan laluan darat, kita dapati sebanyak 75 lokasi pendaratan yang telah dikenal pasti.

“Kita juga telah berbincang untuk menyediakan pendaratan helikopter bagi kawasan-kawasan yang berhampiran dengan pusat pemindahan sementara kepada mangsa-mangsa banjir.” jelasnya.

Tambah beliau, mesyuarat yang dihadiri oleh semua pegawai-pegawai daerah yang juga selaku pengerusi jawatankuasa bencana di daerah masing-masing telah diarahkan untuk bersiap sedia dan mengaktifkan bilik gerakan bencana sekiranya berlaku bencana banjir di daerah masing-masing.

Dalam pada itu, Safar turut berkata corak taburan hujan itu tidak seragam dengan rekod yang dikaji bagi tahun 2020 hingga 2022.

“Menurut jangkaan, Monsun Timur Laut ini akan berlaku pada bulan Disember sehingga bulan Februari.

“Dan dijangkakan akan berlaku dua kali kejadian hujan yang berterusan dan dikhuatiri akan mengakibatkan bencana banjir.

“Tetapi ini tidak bermakna selain daripada bulan tersebut tidak berlaku banjir sebab keadaan cuaca sekarang ini sudah tidak menentu.” ujarnya.

Mesyuarat itu turut dihadiri oleh, Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Datuk Awang Shahminan Awang Sahari, Pengarah APM Sabah Mohtar Samat dan Timbalan Pengarah Bahagian Operasi NADMA Rusli Ibrahim.

Exit mobile version