KOTA KINABALU: Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) dan Institut Integriti Malaysia (IIM) memperkukuh benteng antirasuah dalam sektor tenaga Sabah menerusi kerjasama strategik bagi meningkatkan integriti, penguatkuasaan dan tadbir urus.
Kerjasama itu dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) sempena pelancaran Strategi Antirasuah Organisasi (OACS) ECoS 2026–2030 di Menara Kinabalu, di sini hari ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, langkah itu selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk meningkatkan integriti tadbir urus dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Ir Abdul Nasser Abdul Wahid berkata, kerjasama berkenaan memberi tumpuan kepada aspek penguatkuasaan, pembangunan kapasiti, latihan, kesedaran antirasuah dan pengurusan risiko rasuah.
Menurutnya, kerjasama itu turut memperkukuh mekanisme pencegahan rasuah dalam pelaksanaan fungsi kawal selia ECoS bagi memastikan sektor tenaga Sabah ditadbir secara telus dan berintegriti.
Menerusi MoU berkenaan, kedua-dua pihak akan berkongsi kepakaran dalam aspek pengoperasian, pencegahan dan pendidikan, manakala pegawai ECoS berpeluang mengikuti program latihan termasuk program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO).
Pada majlis itu, Hajiji bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman, menyaksikan pertukaran MoU antara Abdul Nasser dengan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif IIM, Datuk Seri Noridah Abdul Rahim.
