TAWAU, 23 November: Tiga motosikal disita manakala 17 notis saman dikeluarkan dalam Op Motosikal Bersepadu yang dijalankan polis di Kilometer 40, Jalan Apas Balung, di sini, malam Ahad.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Rosdi Mat Jusoh berkata, operasi dilaksanakan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Tawau bermula jam 8 malam hingga 11.30 malam bagi meningkatkan pematuhan undang-undang lalu lintas, khususnya dalam kalangan penunggang motosikal.
Menurutnya, sebanyak 48 kenderaan dan 59 individu diperiksa sepanjang operasi berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 17 keping notis saman dikeluarkan membabitkan 15 kesalahan motosikal dan dua kesalahan motokar,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Rosdi berkata, antara kesalahan dikesan termasuk tiada lesen memandu, tidak memasang cermin sisi, aksesori kenderaan tidak sempurna, tiada nombor pendaftaran, penggunaan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi serta pengubahsuaian ekzos.
Katanya, tiga motosikal turut disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi tindakan lanjut.
Beliau menegaskan polis tidak akan memandang ringan sebarang pelanggaran undang-undang jalan raya, khususnya pengubahsuaian kenderaan yang tidak mengikut spesifikasi dan tindakan menunggang tanpa lesen memandu sah.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan pengguna jalan raya supaya memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik, mematuhi spesifikasi ditetapkan serta memiliki lesen memandu sah.
Tambahnya, operasi penguatkuasaan akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi membendung kesalahan lalu lintas dan meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya di daerah Tawau.
