TAWAU: Seorang bayi perempuan yang dipercayai baru dilahirkan ditemukan ditinggalkan di kawasan semak berhampiran sebuah rumah di Kampung Jawa, di sini, awal pagi Selasa. Polis kini menjalankan siasatan bagi mengenal pasti identiti ibu kandung bayi berkenaan serta individu yang bertanggungjawab meninggalkannya.
Bayi itu ditemukan oleh seorang lelaki kira-kira jam 6 pagi sebelum beliau segera menghubungi ambulans untuk mendapatkan bantuan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Wilynton Enchana Watt berkata, pihaknya menerima dua laporan polis berhubung penemuan bayi berkenaan.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati bayi tersebut ditemui dalam keadaan ditinggalkan sebelum dibawa ke Hospital Tawau untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan menerima rawatan lanjut.
“Siasatan sedang giat dijalankan bagi mengenal pasti identiti ibu kandung bayi dan individu yang bertanggungjawab dalam kejadian ini. Polis turut mengesan saksi, mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi sekiranya ada, selain membuat semakan dengan pihak hospital serta klinik kesihatan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran atau meninggalkan kanak-kanak oleh ibu atau bapa atau penjaga dengan niat untuk membuangnya.
