KOTA KINABALU, 3 Julai – Program Sabah MotoDay 9.0 kini akan berlangsung di Kawasan Parkir Kereta, Kompleks Sukan Likas pada 12 dan 13 September 2026, selepas penganjur memutuskan untuk menukar tarikh asal penganjurannya bagi membolehkan lebih ramai peminat sukan dua roda menyertai acara berkenaan.
Perubahan itu diumumkan menerusi satu kenyataan bersama Skuad Antidadah Negeri Sabah dan Kelab Dua Roda Bersatu Sabah hari ini.
Menurut kenyataan itu, program yang sebelum ini dijadualkan berlangsung pada 5 dan 6 September 2026 ditangguhkan ke 12 dan 13 September 2026 susulan sambutan menggalakkan serta pelbagai permintaan daripada komuniti peminat motosikal agar tarikh penganjuran diselaraskan bagi meningkatkan penyertaan.
Majlis perasmian Sabah MotoDay 9.0 dijadual disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, pada Ahad, 13 September 2026.
Penganjur memaklumkan Sabah MotoDay 9.0 akan terus mengekalkan konsep penganjuran sedia ada dengan pelbagai pengisian termasuk ceramah keselamatan dan peraturan jalan raya, perkongsian bersama klien, pengisian rohani, khidmat masyarakat serta aktiviti sukan dan gaya hidup sihat.
Menurut kenyataan itu, program berkenaan juga kekal menjadi platform untuk menyampaikan mesej antidadah kepada masyarakat, khususnya dalam kalangan komuniti peminat sukan dua roda di negeri ini.
Selain itu, Sabah MotoDay 9.0 turut akan menyaksikan Majlis Penutupan Jerayawara Jelajah Aspirasi Bebas Dadah anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sabah bersama Skuad Dua Roda Antidadah Sabah.
Sehubungan itu, Skuad Antidadah Sabah dan Kelab Dua Roda Bersatu Sabah mengajak semua peminat sukan dua roda hadir beramai-ramai bagi memeriahkan program berkenaan serta memanfaatkan pelbagai aktiviti yang telah disediakan.
Penganjur turut mengingatkan semua peserta dan pengunjung supaya sentiasa mematuhi undang-undang serta peraturan jalan raya, selain mengutamakan keselamatan ketika menunggang dan memandu demi keselamatan diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain.
Kenyataan bersama itu ditandatangani oleh Pengerusi Skuad Antidadah Sabah, Datuk Haji Mazlan @ Joehari Haji Manan, dan Pengerusi Kelab Dua Roda Bersatu Sabah merangkap Ketua Skuad Dua Roda Antidadah Sabah, Rudhi Haryanto Ghazali, yang berharap Sabah MotoDay 9.0 akan terus menjadi platform penyatuan komuniti sukan dua roda di samping memperkukuh kesedaran terhadap agenda antidadah, keselamatan jalan raya dan amalan gaya hidup sihat.
