KOTA KINABALU: Kejayaan wakil Nabawan, Dyeneley Daud, 19 merangkul gelaran Juara Randawi Tavantang Kaamatan (RTK) 2026 serta membolot dua anugerah utama, Mr. Intelligent dan Persembahan Terbaik, bukan sekadar kerana penampilan atau persembahan pentas yang memukau, tetapi hasil gabungan kecerdasan, karisma, kawalan diri dan pemahaman mendalam terhadap falsafah kepahlawanan Momogun.
Ketua Pegawai Eksekutif Institute for Development Studies (Sabah) (IDS), Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul berkata, peserta dari Nabawan itu menampilkan keseimbangan yang jarang ditemui dalam pertandingan seumpama itu sehingga menjadikannya pilihan paling menonjol di atas pentas.
“His eye contact, expressions and gestures, everything just clicked. He looked completely at peace with himself, yang menjadikannya begitu menyenangkan untuk ditonton,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Sabtu.
Menurut Ramzah, antara faktor utama yang melayakkan peserta itu memenangi anugerah Mr. Intelligent ialah keupayaannya menyampaikan idea secara santai tetapi berkesan, tanpa perlu menggunakan gaya pengucapan yang terlalu formal atau bersifat mengajar.
Katanya, peserta tersebut memilih isi yang sederhana tetapi tepat, relevan dan mudah difahami, selain memiliki kejelasan pemikiran atau mental clarity yang sangat tinggi.
“Dia tidak bercakap seperti sedang berceramah. Sebaliknya, dia membawa audiens berbual bersama-sama dengannya. Dari awal hingga akhir, dia tidak pernah terputus hubungan dengan penonton,” katanya.
Ramzah berkata, penggunaan kontak mata, ekspresi wajah, bahasa tubuh dan teknik berhenti seketika pada waktu yang tepat membolehkan mesej yang disampaikan lebih dekat dengan emosi audiens.
Dalam mengulas kemenangan Persembahan Terbaik pula, beliau berkata ramai peserta sering tersalah tafsir konsep kepahlawanan Momogun dengan menonjolkan kekuatan fizikal dan aksi agresif semata-mata, sedangkan elemen sebenar seorang pahlawan terletak pada kawalan, ketelitian dan kecekapan pergerakan.
Menurutnya, wakil Nabawan berjaya memahami aspek tersebut dengan menampilkan gerakan yang halus, tenang dan tersusun, namun tetap memancarkan ketangkasan serta keberanian seorang pahlawan.
“Ramai peserta cuba menunjukkan kegagahan dengan gerakan yang terlalu kasar dan agresif. Tetapi peserta dari Nabawan membawa citra kepahlawanan Momogun dengan nuansa yang tepat. Geraknya halus, tenang dan fokus, tetapi tetap kuat dan meyakinkan,” katanya.
Beliau berkata, setiap pergerakan peserta itu memperlihatkan penguasaan ruang, kesedaran terhadap persekitaran dan penggunaan tenaga yang efisien, selaras dengan prinsip biomekanik serta falsafah kepahlawanan masyarakat Momogun.
Tambahnya, peserta berkenaan tidak perlu berusaha terlalu keras untuk membuktikan dirinya seorang pejuang kerana keseluruhan bahasa tubuh dan pembawaannya sendiri telah menceritakan kisah tersebut kepada penonton.
“Dia benar-benar tahu bagaimana meletakkan dirinya sebagai cerita utama di atas pentas, bukan sekadar prop atau watak sampingan. Secara keseluruhan, beliau memancarkan personaliti yang berwibawa dengan keseimbangan tepat antara pesona, ketenangan dan karisma,” katanya.
Wakil Nabawan dinobatkan sebagai Juara RTK 2026 selain turut memenangi anugerah Mr. Intelligent dan Persembahan Terbaik, sekali gus muncul sebagai peserta paling cemerlang dalam pertandingan berprestij sempena sambutan Pesta Kaamatan peringkat negeri tahun ini.
