KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) secara rasmi mengemukakan permohonan untuk menjadi parti komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi memperkukuh kerjasama politik tempatan dan memperjuangkan agenda pembangunan serta hak-hak Sabah.
Permohonan tersebut disampaikan oleh Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick yang mengetuai delegasi parti itu dalam satu pertemuan dengan Ketua Menteri merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, di sini hari ini.
Ewon berkata, keputusan untuk memohon menyertai GRS dibuat selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi UPKO pada 25 Mei lalu yang sebulat suara bersetuju agar parti itu menjadi sebahagian daripada gabungan berkenaan.
Menurutnya, UPKO melihat penyatuan dan kerjasama antara parti-parti tempatan Sabah sebagai langkah penting dalam memperkukuh kestabilan politik negeri serta memperjuangkan kepentingan rakyat Sabah.
“UPKO mahu menyumbang kepada penyatuan dan kerjasama parti-parti tempatan Sabah bagi memperkukuh usaha membangunkan masa depan Sabah serta memperjuangkan hak-hak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
“Wawasan Sabah First yang diperjuangkan oleh UPKO adalah bersesuaian dengan perjuangan GRS melalui Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang mesti diperkukuh melalui kerjasama lebih erat dan penyatuan parti-parti tempatan Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Hajiji bagi menyerahkan permohonan rasmi UPKO untuk menyertai gabungan berkenaan.
Ewon turut menegaskan bahawa penyertaan UPKO dalam GRS diyakini mampu memperkukuh suara parti-parti tempatan dalam memperjuangkan hak-hak Sabah, termasuk perkara berkaitan MA63, autonomi negeri serta agenda pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat.
Katanya, kerjasama yang lebih erat dalam kalangan parti tempatan juga penting bagi memastikan kestabilan politik yang berterusan sekali gus membolehkan kerajaan memberi tumpuan kepada usaha pembangunan ekonomi, kesejahteraan rakyat dan kemajuan negeri.
Permohonan UPKO itu dilihat sebagai perkembangan penting dalam landskap politik Sabah, selaras dengan usaha memperkukuh kesatuan parti-parti tempatan di bawah payung GRS bagi menghadapi cabaran politik dan pembangunan negeri pada masa hadapan.
Setakat ini, komponen parti yang ada dalam GRS adalah Parti Gabungan Rakyat Sabah (PGRS); Parti Bersatu Sabah (PBS); Parti Liberal Demokratik (LDP); dan Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS).
