KOTA KINABALU: Salah faham dan rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli kumpulan WhatsApp dikenali sebagai “Angel” dipercayai menjadi punca seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun dipukul beramai-ramai oleh lima pelajar lain dalam kejadian yang tular di media sosial sejak semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Supt. Syed Lot Bin Syed Abdul Rahman berkata, siasatan awal mendapati mangsa dan semua suspek merupakan pelajar daripada beberapa sekolah berbeza di sekitar Kota Kinabalu yang saling mengenali menerusi kumpulan WhatsApp tersebut.
Menurut beliau, kejadian dipercayai berlaku pada 22 Mei lalu kira-kira jam 8 pagi di sekitar kawasan Kota Kinabalu sebelum video insiden berkenaan mula tersebar di media sosial.
“Laporan polis telah dibuat pada 23 Mei 2026 kira-kira jam 7.51 pagi oleh mangsa sendiri, seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai telah dipukul menggunakan tangan oleh lima orang pelajar perempuan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Syed berkata, siasatan lanjut mendapati mangsa telah dibawa ke lokasi kejadian oleh dua suspek sebelum semua suspek bertindak mengepung dan memukul mangsa dipercayai akibat salah faham serta rasa tidak puas hati terhadap mangsa.
Katanya, mangsa turut mendakwa telah diugut supaya tidak memaklumkan kejadian itu kepada ahli keluarga atau pihak polis.
“Akibat kejadian tersebut, mangsa mengalami lebam pada kedua-dua bahu dan kaki, lebam pada telinga kiri serta luka kecil pada lutut kiri,” katanya.
Menurut beliau, kejadian itu turut disaksikan beberapa pelajar dan orang awam sebelum dirakam dan tular di media sosial.
Tambahnya, kes kini disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.
