KOTA KINABALU: Penstrukturan semula jumlah bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) daripada 74 kepada 26 diyakini mampu memperkukuh organisasi parti serta memperkemas gerak kerja akar umbi dalam menghadapi cabaran politik semasa.
Ketua Penerangan PGRS, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, langkah yang akan dibawa dalam Persidangan Agung Khas parti di bawah Fasal 16.1 itu merupakan satu usaha strategik bagi memastikan struktur parti lebih tersusun, fokus dan berkesan.
Menurut beliau, struktur yang lebih kemas akan membantu mengurangkan pertindihan gerak kerja, mempercepat penyampaian arahan serta memastikan sumber dan tenaga parti dapat digunakan secara lebih cekap.
“Penstrukturan daripada 74 bahagian kepada 26 bahagian bukan sekadar perubahan angka. Ia adalah usaha memperkukuh gerak kerja parti supaya lebih fokus, lebih mudah diselaraskan dan lebih berupaya digerakkan secara menyeluruh di peringkat akar umbi.
“Melihat keadaan politik hari ini yang semakin mencabar, parti memerlukan organisasi yang bukan sahaja besar dari segi sokongan, tetapi juga kuat dari segi disiplin, penyelarasan dan keberkesanan jentera,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata, pindaan itu juga perlu dilihat sebagai langkah memperkukuh perpaduan dalaman parti apabila pemimpin dan jentera di setiap kawasan dapat bergerak sebagai satu pasukan yang lebih tersusun.
Katanya, penstrukturan berkenaan bukan bertujuan mengurangkan peranan mana-mana pihak, sebaliknya menyusun semula kekuatan parti agar terus relevan dan dekat dengan rakyat.
“Penstrukturan ini tidak harus dilihat sebagai pengurangan peranan mana-mana pihak. Sebaliknya, ia adalah penyusunan semula kekuatan agar PGRS terus menjadi parti tempatan Sabah yang lebih mantap, responsif dan dekat dengan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Nizam yang juga Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah berkata, kekuatan PGRS amat penting dalam memastikan kestabilan GRS dan kerajaan negeri terus diperkukuhkan.
Beliau turut menyifatkan langkah itu sebagai mencerminkan keberanian serta kebijaksanaan Presiden PGRS merangkap Pengerusi GRS, Hajiji Noor, dalam melakukan penyesuaian demi masa depan parti.
“Saya yakin penstrukturan ini akan menjadikan PGRS lebih bersedia, lebih tersusun dan lebih kukuh dalam meneruskan perjuangan membela rakyat serta mempertahankan kepentingan Sabah,” katanya.
