SEMPORNA: Semporna bukan lagi sekadar destinasi pelancongan terkenal dunia, sebaliknya kini muncul sebagai pemangkin utama agenda Ekonomi Biru Sabah menerusi penerokaan sektor marin, akuakultur dan pelancongan lestari yang mampu menjana limpahan ekonomi besar kepada negeri.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, potensi luar biasa yang dimiliki daerah itu menjadikan Semporna antara kawasan strategik dalam pelaksanaan pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), khususnya dalam pembangunan ekonomi berasaskan sumber laut.
“Dalam erti kata lain, kejayaan Semporna adalah kejayaan Sabah,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam sempena lawatan kerjanya ke daerah itu sempena Tinjauan Keselamatan ke ESS Zone di Grand Ballroom, Hotel Seafest Semporna, pada Rabu.
Menurutnya, Semporna sudah mendahului beberapa inisiatif penting yang boleh dijadikan penanda aras, khususnya dalam sektor pelancongan marin berimpak tinggi dan lestari.
Beliau berkata, Pulau Sipadan misalnya berjaya melaksanakan sistem kuota pelawat harian yang kini menjadi model pengurusan pelancongan bernilai tinggi dan mampan bagi memastikan keseimbangan antara aktiviti ekonomi dan pemuliharaan alam sekitar.
“Di Taman Marin Tun Sakaran pula, kita menyaksikan sinergi harmoni antara pelancongan, pemeliharaan biodiversiti dan penglibatan komuniti setempat.
“Inilah asas kepada konsep pelancongan berasaskan komuniti yang kita mahu perluaskan kerana ia memastikan kekayaan alam Semporna dipulangkan semula kepada rakyatnya,” katanya.
Hajiji berkata, kerajaan negeri kini mempergiat usaha mentransformasikan sektor akuakultur marin daripada pengeluaran bahan mentah kepada ekonomi berasaskan nilai tambah.
Katanya, antara fokus utama kerajaan termasuk peluasan zon akuakultur bersepadu berskala komersial, penggunaan teknologi sangkar laut moden yang lebih efisien dan mesra alam serta memperkukuh industri rumpai laut bagi meningkatkan produktiviti dan kualiti eksport.
“Pada masa sama, kita juga berusaha menarik pelaburan berimpak tinggi dalam sektor pemprosesan hiliran hasil laut supaya rantaian nilai ekonomi dapat dikuasai secara menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan turut merangka pelbagai keperluan infrastruktur sokongan di Semporna termasuk pemodenan jeti dan jaringan logistik, pembangunan rantaian bekalan sejuk (cold chain) serta memperluas akses ke pasaran eksport antarabangsa.
Selain itu, katanya, kemudahan pelancongan awam yang lebih teratur, selamat dan bertaraf dunia juga akan diberi perhatian bagi menyokong pertumbuhan sektor berkenaan.
Hajiji turut menegaskan bahawa pembangunan di Semporna perlu dilaksanakan secara lestari dan berteraskan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
Katanya, kawasan tumpuan seperti Pulau Mabul dan Pulau Kapalai kini berdepan tekanan pembangunan yang semakin pesat dan memerlukan pendekatan pengurusan lebih berhemah.
“Jika tidak diurus dengan baik, kita berisiko merosakkan aset semula jadi yang menjadi lubuk emas ekonomi negeri.
“Kelestarian mesti dilihat sebagai satu pelaburan, bukan bebanan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru pemimpin setempat agar memainkan peranan lebih proaktif sebagai penjaga utama ekosistem termasuk membantu penguatkuasaan peraturan, membanteras aktiviti tidak mampan dan menggalakkan penglibatan generasi muda dalam sektor Ekonomi Biru yang dipacu inovasi dan teknologi moden.
Menurutnya, Semporna berpotensi muncul sebagai hab pelancongan marin lestari bertaraf dunia, pusat akuakultur moden dan pengeluar makanan laut premium utama negara.
Malah, katanya, daerah itu juga boleh menjadi model pembangunan ekonomi komuniti pesisir serta pusat rujukan kecemerlangan Ekonomi Biru bagi Sabah.
