PENAMPANG: Polis mengesahkan penemuan mayat seorang lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di dalam longkang berhampiran sebuah restoran di Jalan Bundusan, di sini, pada petang Isnin.
Ketua Polis Daerah Penampang, DSP Erwansyah Abdul Basir berkata, pihaknya menerima maklumat awam berhubung kejadian itu kira-kira jam 3.30 petang sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan awal.
“Sejurus menerima maklumat, pihak polis telah bertindak pantas ke lokasi kejadian untuk menjalankan pemeriksaan serta mengawal keadaan di tempat kejadian.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa berada dalam keadaan tertiarap dan terapung di dalam longkang,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.
Menurutnya, pasukan forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah turut dikerahkan ke lokasi bagi membantu siasatan terperinci.
Beliau berkata, setakat ini tiada sebarang unsur jenayah dikenal pasti berdasarkan penilaian awal di lokasi kejadian, dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) sementara menunggu hasil siasatan lanjut.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk tujuan bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian.
“Identiti mangsa serta waris masih dalam proses pengesahan oleh pihak polis,” katanya.
Dalam pada itu, Erwansyah menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan serta menimbulkan kegusaran dalam masyarakat.
Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ahmad Amir Fitri Ab Rahman di talian 016-4492215 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Polis Diraja Malaysia menegaskan komitmen untuk menjalankan siasatan secara profesional, telus dan berintegriti demi menjaga keselamatan serta ketenteraman awam.
