KOTA KINABALU: Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menzahirkan penghargaan terhadap tindakan proaktif pihak pengurusan universiti dalam menangani gangguan bekalan air di kampus, termasuk langkah segera menjaga kebajikan dan keperluan asas pelajar.
Ketua Jabatan Kebajikan Mahasiswa MPP UMS, Mohamad Furkhan Abdullah berkata, komitmen jelas ditunjukkan oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Haji Mansor yang turun padang meninjau sendiri situasi pada Selasa.
“Lawatan turun padang ini memberi keyakinan kepada kami bahawa pihak universiti benar-benar serius dalam mencari penyelesaian terbaik terhadap isu yang dihadapi,” katanya.
Menurutnya, antara langkah segera yang amat membantu pelajar ialah pemberian bekalan air mineral kepada semua penghuni kolej kediaman, sekali gus memastikan keperluan asas harian terus dipenuhi dalam keadaan bekalan air terhad.
“Pemberian air mineral ini bukan sahaja meringankan beban pelajar, malah memberi jaminan bahawa kebajikan dan kesihatan mereka terus menjadi keutamaan pihak universiti,” katanya.
Dalam masa sama, pelaksanaan kuliah secara atas talian sepanjang tempoh gangguan turut disambut baik kerana mampu mengurangkan penggunaan air di kampus tanpa menjejaskan sesi akademik.
“Ia secara langsung membantu mengurangkan impak kepada pelajar yang masih berada di dalam kampus,” tambahnya.
MPP turut menghargai peranan Dapur Siswa yang terus beroperasi bagi memastikan pelajar mempunyai akses kepada makanan mencukupi sepanjang tempoh gangguan.
Mengulas lanjut, Furkhan berkata, lawatan bersama Naib Canselor ke lokasi tangki R13 milik Jabatan Air Negeri Sabah memberikan gambaran jelas punca gangguan, apabila paras air didapati berada pada tahap sangat rendah.
Sementara itu, Ahli Parlimen Sepanggar merangkap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud memaklumkan bahawa bekalan air dijangka pulih dalam tempoh terdekat susulan kerja-kerja pembaikan yang sedang giat dijalankan.
Menurutnya, gangguan bekalan air di kawasan Alam Mesra dan UMS berpunca daripada beberapa kerosakan di lokasi tertentu, namun Jabatan Air Negeri Sabah kini dalam proses menstabilkan semula bekalan, selain menggerakkan lori tangki air sebagai langkah sementara.
Sehubungan itu, MPP menyeru seluruh warga kampus agar terus bersabar serta mendoakan agar usaha pemulihan bekalan air berjalan lancar dan gangguan dapat diselesaikan secepat mungkin.
