KOTA KINABALU: Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Balaban Jaya, Beluran dipindahkan sementara ke SK Pekan Beluran susulan kerosakan infrastruktur akibat pergerakan tanah dan cerun yang menjejaskan keselamatan sekolah berkenaan.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, langkah segera itu diambil bagi memastikan proses pembelajaran tidak terjejas selain menjamin keselamatan murid dan warga sekolah.
Menurut KPM, kemudahan pengangkutan turut disediakan bagi membawa murid ke sekolah baharu bagi mengurangkan beban ibu bapa sepanjang tempoh pemindahan sementara tersebut.
“Isu ini berpunca daripada kerosakan pada sebahagian infrastruktur sekolah akibat pergerakan tanah dan cerun, sekali gus menjadikan kawasan sekolah tidak selamat untuk digunakan.
“Sehubungan itu, tindakan segera diambil termasuk memindahkan sementara murid ke SK Pekan Beluran serta menyediakan pengangkutan agar pembelajaran dapat diteruskan tanpa gangguan,” menurut kenyataan itu, hari ini.
KPM turut memaklumkan beberapa sesi libat urus telah dilaksanakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah bersama pihak berkepentingan termasuk ibu bapa dan masyarakat setempat bagi mencari penyelesaian terbaik.
Dalam masa sama, kerja naik taraf di SK Sungai Nangka akan dilaksanakan segera bagi menampung keperluan penyuraian murid sementara menunggu pembinaan semula SK Balaban Jaya.
Kementerian itu menegaskan komitmen penuh untuk memastikan keperluan pendidikan murid terjejas terus terpelihara, selain memberi keutamaan kepada aspek keselamatan dan kesejahteraan seluruh warga sekolah.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan isu berkenaan perlu ditangani segera dan telah mengarahkan KPM serta Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri mengambil tindakan pantas.
“Perkara sebegini cukup mengesankan. Arahan telah diberikan kepada Kementerian Pendidikan dan ICU untuk penyelesaian segera.
“Keselesaan dan kebajikan anak-anak dalam menuntut ilmu mesti diberi perhatian utama, dan tindakan segera wajib dilaksanakan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
