TAWAU: Seorang lelaki warga asing dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah memiliki 570 keping sisik penyu daripada spesies Eretmochelys imbricata di Semporna.
Tertuduh, Khalid Janullah, 65, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya, pada Selasa.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didapati memiliki sisik penyu tersebut kira-kira jam 9.05 pagi pada 15 November 2025 di sebuah premis di Bandar Semporna, Jalan Datu Jakarullah.
Spesies penyu berkenaan merupakan haiwan yang dilindungi sepenuhnya dan disenaraikan di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa di bawah subseksyen 41(1) enakmen berkenaan yang boleh dihukum di bawah subseksyen 41(4) enakmen sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Kesalahan itu memperuntukkan denda tidak kurang RM50,000 dan tidak melebihi RM250,000 serta penjara antara satu hingga lima tahun jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap tertuduh serta memerintahkan supaya dia dirujuk kepada Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Primus Lambut, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
