SANDAKAN: Seorang lelaki maut dalam kemalangan jalan raya selepas dipercayai cuba mengelak sebuah kereta yang keluar dari simpang di Jalan Utara Batu 5, di sini, tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.25 tengah hari itu, mangsa berusia 28 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR dilaporkan cuba mengelak sebuah kereta jenis Toyota Vios yang keluar dari simpang sebelum terbabas ke seberang jalan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan, Ramasamy A/L Kuppan berkata, siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan dua kenderaan iaitu sebuah Toyota Vios berwarna perak dan motosikal mangsa.
“Penunggang motosikal dipercayai cuba mengelak kenderaan yang keluar dari simpang sebelum hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang bekerja sebagai jurutera disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dashcam) berkaitan kejadian agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Insp. Faiz di talian 011-1144870 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan di talian 089-212222.
“Kerjasama orang ramai amat diperlukan bagi membantu melengkapkan siasatan kes ini,” katanya.
