KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan digesa supaya tidak menangguhkan pelaksanaan pembayaran berkaitan tuntutan 40 peratus hasil Sabah seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi, sebaliknya memulakan pembayaran berdasarkan kapasiti kewangan sedia ada.
Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Azrul Ibrahim berkata, langkah menangguhkan pelaksanaan pembayaran tersebut sepatutnya dapat dielakkan walaupun Kerajaan Persekutuan mungkin memerlukan masa untuk menyusun mekanisme dan kaedah pelaksanaannya secara teratur.
“Langkah yang lebih meyakinkan ialah memulakan pembayaran sebahagian dana yang berkaitan berdasarkan kapasiti kewangan sedia ada, sementara perincian jumlah sebenar serta formula pengiraan dapat terus dimuktamadkan melalui rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Menurut beliau, keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 Oktober 2025 telah menegaskan bahawa Sabah mempunyai hak perlembagaan terhadap 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang diperoleh dari negeri itu selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Azrul berkata, pelaksanaan keputusan tersebut wajar diterjemahkan melalui komitmen dan itikad baik semua pihak agar hak Sabah dapat direalisasikan seperti yang telah diputuskan oleh mahkamah.
“Sebarang penangguhan terhadap perkara ini hanya akan menambahkan keresahan serta meningkatkan sentimen rakyat Sabah yang telah sekian lama menantikan penyelesaian yang adil terhadap hak negeri ini,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa isu berkenaan tidak seharusnya dipolitikkan sehingga menimbulkan persepsi bahawa Kerajaan Negeri tidak serius dalam menuntut hak tersebut.
Menurutnya, di bawah kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, kerajaan negeri telah menunjukkan komitmen yang konsisten dan berprinsip dalam memperjuangkan hak Sabah termasuk melalui rundingan berkaitan Malaysia Agreement 1963 (MA63).
“Perkara paling penting ialah memastikan hak Sabah dihormati dan dilaksanakan. Dalam semangat Persekutuan Malaysia yang adil dan saksama, kita berharap Kerajaan Persekutuan dapat mengambil langkah lebih proaktif untuk menyelesaikan perkara ini tanpa penangguhan serta memberi keutamaan kepada penyelesaian segera mengikut kapasiti yang ada,” katanya.
