PENAMPANG: Seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun berjaya diberkas selepas didapati memiliki dadah disyaki jenis ketamin bernilai lebih RM8,000 dalam satu operasi dijalankan polis di daerah ini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Penampang, Supt. Sammy Newton berkata, suspek turut didapati positif dadah jenis ketamin dan tetrahydrocannabinol (THC) hasil ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atasnya.
Menurutnya, tangkapan dibuat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah Penampang yang turut merampas 19 paket plastik lut sinar berisi ketulan hablur jernih dipercayai dadah jenis ketamin.
“Jumlah rampasan dianggarkan seberat 54.62 gram dengan nilai pasaran kira-kira RM8,193,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup sehingga 30 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali jika sabit kesalahan.
Selain itu, kes turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana penyalahgunaan dadah, yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun jika disabitkan kesalahan.
Polis Diraja Malaysia menegaskan akan terus mempergiatkan usaha membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan masyarakat di daerah ini.
