KUALA LUMPUR: Sebanyak 15 projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) bernilai RM1.49 bilion kini sedang dilaksanakan di Sabah sebagai langkah memperkukuh mitigasi banjir dan meningkatkan daya tahan negeri itu terhadap impak perubahan iklim.
Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, projek-projek tersebut merupakan sebahagian daripada 140 projek RTB yang telah diluluskan di seluruh negara, termasuk projek baharu dan sambungan.
Menurut beliau, pendekatan struktur yang dilaksanakan menerusi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dan Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) merangkumi pembinaan ban sungai, tembok banjir, kolam takungan, pintu kawalan air serta sistem pam.
“Di Sabah, sebanyak 15 projek RTB bernilai RM1.49 bilion sedang berada pada pelbagai peringkat pelaksanaan bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan berisiko tinggi,” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menambah, bagi memastikan projek lebih berdaya tahan dalam jangka panjang, reka bentuk RTB kini mengambil kira Climate Change Factor (CCF) dalam pengiraan teknikal, selaras dengan cabaran perubahan iklim yang semakin ketara.
Selain pendekatan struktur, PETRA turut melaksanakan langkah bukan struktur menerusi Pelan Induk Tebatan Banjir (PITB). Setakat ini, 12 PITB telah dan sedang dilaksanakan di Sabah dan Sarawak, manakala 14 lagi di kawasan Pantai Timur Semenanjung.
Di Sarawak pula, sebanyak 10 projek RTB bernilai RM3.34 bilion sedang dilaksanakan, manakala 29 projek di Pantai Timur bernilai RM9.377 bilion berada pada pelbagai peringkat pelaksanaan.
Sebagai sokongan operasi, sebanyak 606 unit pam bergerak telah ditempatkan di seluruh negara bagi mempercepatkan pengepaman air semasa hujan lebat berterusan, khususnya di kawasan rendah.
Fadillah menegaskan komitmen kerajaan untuk terus memperkukuh pengurusan banjir secara sistematik dan menyeluruh demi melindungi rakyat serta memastikan pembangunan negara lebih berdaya tahan terhadap perubahan iklim.
