KOTA KINABALU, 25 Feb — Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memantau secara rapi perkembangan cuaca di Sabah yang dijangka terus mengalami corak cuaca lembap dalam tempoh lima hari akan datang.
Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, berdasarkan analisis model cuaca terkini oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), negeri itu dijangka menerima pengaruh angin timuran dan baratan yang lemah sepanjang tempoh berkenaan.
“Keadaan ini meningkatkan kelembapan atmosfera dan berpotensi menyebabkan hujan serta ribut petir di beberapa tempat di Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, di kawasan Pantai Barat, hujan dijangka berlaku di perairan Sabah pada sebelah pagi, manakala hujan dan ribut petir berpotensi berlaku di beberapa lokasi pada sebelah petang hingga malam.
Bagi kawasan Pedalaman pula, hujan diramalkan berlaku pada waktu pagi terutamanya di awal dan akhir tempoh ramalan, sementara hujan serta ribut petir dijangka berlaku pada sebelah petang dan malam.
Di kawasan Sandakan, Tawau dan Kudat, hujan dijangka berlaku pada waktu pagi, diikuti hujan serta ribut petir pada sebelah petang dan malam sepanjang tempoh ramalan tersebut.
Arthur berkata, beliau telah mengarahkan MetMalaysia supaya memastikan penyaluran maklumat dan amaran cuaca dilaksanakan secara agresif serta tepat pada masanya.
“Saya mahu rakyat Sabah mendapat akses kepada data ramalan yang sahih dan terkini supaya sebarang risiko bencana akibat cuaca lembap ini dapat diuruskan dengan lebih berkesan di peringkat komuniti,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan seluruh rakyat Sabah supaya sentiasa berwaspada terhadap perubahan cuaca yang mendadak, khususnya pada waktu petang dan malam, serta mendapatkan maklumat terkini melalui saluran rasmi seperti aplikasi myCuaca, portal www.met.gov.my dan media sosial MetMalaysia bagi memastikan keselamatan diri dan keluarga.
