TAWAU, 24 Februari 2026 – Hospital Tawau mencatatkan satu lagi pencapaian bersejarah dalam perkhidmatan kepakaran bedah saraf apabila berjaya melaksanakan prosedur Pembedahan Otak Dalam Keadaan Sedar (Awake Craniotomy) buat pertama kali di Pantai Timur Sabah pada 23 Februari 2026.
Prosedur berkenaan dijayakan menerusi kerjasama pasukan Pembedahan Saraf Hospital Tawau bersama pakar bedah neuro dari Hospital Queen Elizabeth (HQE) dan Hospital Queen Elizabeth II (HQE2). Pembedahan tersebut diketuai oleh Dr Tan Shze Ee dan Dr Andy Yap Teck Cheng dengan sokongan Dr Ting Mei Sze selaku Pakar Bius Neuro bersama pasukan anestesiologi Hospital Tawau.
Pesakit yang terlibat merupakan seorang wanita berusia 48 tahun yang telah didiagnos dengan lesi otak sejak November 2025. Keadaan pesakit tidak menunjukkan tindak balas memuaskan terhadap rawatan awal dan gejala yang dialami semakin bertambah. Justeru, rawatan pembedahan disyorkan bagi meningkatkan kualiti hidup pesakit.
Awake Craniotomy merupakan prosedur pembedahan otak yang dilakukan ketika pesakit berada dalam keadaan sedar sepanjang tempoh pembedahan. Kaedah ini membolehkan pakar bedah menilai secara langsung keberkesanan pembedahan di samping memantau fungsi penting otak bagi mengurangkan risiko komplikasi. Prosedur yang berlangsung selama dua jam setengah itu berjaya dilaksanakan dengan selamat, dan pesakit kini berada dalam keadaan stabil serta menjalani pemantauan rapi.
Kejayaan pelaksanaan prosedur ini membuktikan kesiapsiagaan Hospital Tawau dalam menyediakan perkhidmatan bedah saraf setanding dengan hospital-hospital utama negeri. Ia sekali gus memberi manfaat langsung kepada penduduk di Pantai Timur Sabah yang kini boleh mendapatkan rawatan kepakaran tersebut tanpa perlu dirujuk ke hospital lain.
Langkah ini bukan sahaja memperluas akses kepada rawatan kompleks, malah membantu menjimatkan kos serta mengurangkan beban pesakit dan penjaga yang sebelum ini terpaksa mendapatkan rawatan di fasiliti luar kawasan.
Jabatan Kesihatan Negeri Sabah menegaskan komitmen berterusan untuk memperkukuhkan perkhidmatan kepakaran serta memperluas akses rawatan berkualiti demi kesejahteraan masyarakat.
