TENOM: Sebanyak 22 kampung dan lima sekolah di daerah Tenom terjejas akibat banjir susulan hujan lebat berterusan sejak 23 Februari lalu yang menyebabkan paras Sungai Padas dan Sungai Pegalan melepasi tahap bahaya.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Tenom dalam laporan pemantauan jam 8.23 pagi hari ini memaklumkan limpahan air sungai telah menenggelami beberapa kampung serta menutup laluan utama, sekali gus menjejaskan pergerakan penduduk.
Antara kampung terlibat ialah Kampung Enubai, Pantungon Saga, Mandalom Lama, Pantongan Sapong, Ponontomon, Tumantalik, Paal Seberang, Batu-Batu, Kuala Tomani, Kemabong Lama, Sugiang Lama, Gumisi, Belumbung, Pamaluyan, Akar Hidup, Pulongan Sapong, Batu 8, Bangkulin Lama, Kalasasan, Batu 14, Chinta Mata Tanjung dan Saga Laut.
Semua laluan ke kampung-kampung berkenaan dilaporkan tidak boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan. Empat jalan utama turut dinaiki air iaitu Jalan Sapong–Kemabong, Jalan Labut Enubai, Jalan Tenom–Ponontomon dan Jalan Sapong–Tenom.
Lima sekolah yang terjejas ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Sapong, SK Gumisi, SK Kemabong, SK Kuala Tomani dan SK Enubai.
APM Tenom memaklumkan bacaan paras air Sungai Padas setakat jam 12.00 tengah hari adalah 178.90 meter, melepasi paras bahaya 177.00 meter dengan trend air masih menunjukkan peningkatan.
Sehingga jam 10.00 pagi, lima anggota LLP menjalankan pemantauan di DUN Kemabong dan DUN Melalap serta melaksanakan operasi menyelamat mangsa terjejas. Seramai 31 mangsa di Kampung Batu 8 dan sembilan mangsa di Kampung Batu 14 berjaya diselamatkan.
Sebanyak 11 pusat transit telah dibuka termasuk Dewan Ontoros Kemabong, SK Saga Laut, RK Gumisi Laut, Dewan Terbuka Kampung Maugus, RK Mandalom Lama, RK Pantongan Saga, RK Ponontomon, RK Skim Kuala Tomani, RK Bangkulin Lama, Gereja Lalandang dan Dewan Humana Desa Sapong.
Operasi melibatkan kekuatan tiga pegawai dan 30 anggota LLP APM dengan bantuan logistik termasuk sebuah JMC, sebuah Navara, sebuah bot RIB dan sebuah bot fiber.
Setakat ini tiada kejadian jalan terputus, tanah runtuh atau kes kecemasan dilaporkan. Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Tenom kekal dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan susulan keadaan cuaca mendung dan paras air yang masih meningkat.
