KUCHING: Kerajaan Sarawak semalam telah memfailkan petisyen di Mahkamah Persekutuan bagi mencabar kesahihan serta keberterusan pemakaian tiga undang-undang persekutuan berkaitan petroleum yang didakwa menjejaskan hak negeri terhadap sumber minyak dan gas luar pesisir.
Memetik TVS, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, tiga undang-undang yang dipersoalkan ialah Akta Pembangunan Petroleum 1974, Akta Pelantar Benua 1966 dan Akta Perlombongan Petroleum 1966.
Menurut beliau, akta-akta berkenaan memberi kesan terhadap hak Sarawak ke atas sumber petroleum di dasar laut dalam sempadan negeri seperti yang ditetapkan sebelum Hari Malaysia.
Hasidah menegaskan bahawa berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 serta instrumen perlembagaan berkaitan, hak kedaulatan terhadap sumber petroleum dalam sempadan Sarawak telah diserahkan kepada negeri itu pada Hari Malaysia oleh Kerajaan British, bukannya kepada Kerajaan Persekutuan.
Beliau turut menjelaskan bahawa dua akta tahun 1966 pada asalnya hanya terpakai kepada Negeri-Negeri Tanah Melayu dan diperluaskan ke Sarawak selepas Proklamasi Darurat 1969.
Namun, selepas Darurat dibatalkan oleh kedua-dua Dewan Parlimen pada Disember 2011, Sarawak berpendirian akta tersebut sepatutnya tidak lagi terpakai kepada negeri itu sejak Jun 2012 berdasarkan Perkara 150(7) Perlembagaan Persekutuan.
Langkah undang-undang itu dibuat susulan tindakan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) pada 10 Januari lalu memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran mencabar beberapa undang-undang negeri berkaitan operasi petroleum di Sarawak, yang dijadualkan didengar di Mahkamah Persekutuan pada 16 Mac depan.
Kerajaan Sarawak memaklumkan pihaknya akan membantah permohonan berkenaan kerana didakwa tidak termasuk dalam bidang kuasa asal eksklusif Mahkamah Persekutuan di bawah Perkara 128(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Dalam petisyen yang difailkan, kerajaan negeri turut memohon Mahkamah Persekutuan membuat penentuan di bawah Perkara 4(3) dan 128(1) Perlembagaan Persekutuan berhubung kesahihan akta-akta persekutuan itu setakat mana pemakaiannya terhadap Sarawak.
Menurut kenyataan itu lagi, penentuan isu perlembagaan ini penting bagi memperjelas kerangka kawal selia industri minyak dan gas di Sarawak, khususnya kepada pelabur sektor huluan dan hiliran.
Walaupun membawa perkara ini ke mahkamah, Kerajaan Sarawak menegaskan komitmen untuk meneruskan perbincangan secara konstruktif dengan Kerajaan Persekutuan demi memperkukuh perpaduan nasional serta memastikan penggunaan sumber minyak dan gas secara lebih mampan.
