KOTA KINABALU: ADUN Dilantik, Datuk Mohamed Razali Razi menyatakan sokongan bersyarat terhadap cadangan pembukaan Konsulat India di Sabah, namun menegaskan kerajaan perlu memperincikan rasional serta manfaatnya kepada rakyat negeri ini.
Beliau berkata, pendirian peribadinya jelas, sekiranya cadangan itu membawa kebaikan kepada negara dan Sabah, maka ia wajar dipertimbangkan secara positif.
“If it’s good for the country, why not? Kenapa kita perlu fokus mengatakan ia tidak relevan? Tetapi kita perlu faham kenapa,” katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Buffet Ramadan serta meraikan anak-anak yatim di Sabah Oriental Hotel, di sini, semalam.
Menurut Razali, kebimbangan yang disuarakan segelintir rakyat Sabah bukanlah berbentuk bantahan terhadap kehadiran warga India, sebaliknya mahukan penjelasan yang jelas daripada pihak berkaitan.
“The concern by orang Sabah, they want to know why. Bukan membantah semata-mata mereka berada di sini, tetapi mahu tahu sebab dan justifikasi. Jika ia baik, beritahu ia baik. Saya yakin tidak akan dibuka sesuatu yang tidak memberi manfaat kepada negeri,” ujarnya.
Beliau berkata, penjelasan terperinci penting bagi memastikan pembukaan konsulat tersebut benar-benar membawa nilai tambah dari segi hubungan diplomatik, ekonomi dan pelaburan kepada Sabah.
Dalam perkembangan lain, Razali turut mengulas mengenai situasi banjir yang melanda beberapa daerah termasuk Pitas, Kota Marudu, Sandakan dan Paitan, dengan memaklumkan kerajaan telah menggerakkan agensi berkaitan bagi membantu mangsa terjejas.
“The government is aiding. Saya difahamkan agensi sedang dikerahkan untuk membantu dan wakil rakyat kawasan juga akan terlibat,” katanya.
Beliau turut menasihatkan rakyat yang terkesan supaya bersabar, memandangkan kejadian banjir merupakan bencana alam yang tidak dirancang, lebih-lebih lagi berlaku dalam bulan Ramadan.
“Ini bulan puasa, memang ada kesukaran. Tetapi saya yakin kerajaan sedang membantu. Kita perlu bersabar kerana ini bencana alam, mungkin satu ujian untuk kita,” tambahnya.
Terdahulu, Razali menghadiri program anjuran Sabah Rental Hotel yang meraikan 20 anak yatim bagi fasa pertama, dengan perancangan untuk memperluaskan inisiatif tersebut pada masa akan datang.
