TAMBUNAN: Seorang budak perempuan berusia enam tahun ditemui rentung dalam satu tragedi kebakaran yang memusnahkan dua buah rumah serta tiga kenderaan di Kampung Patau, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.08 pagi itu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan menerima panggilan kecemasan sebelum menggerakkan lapan anggota ke lokasi sejauh 16 kilometer. Jentera bomba tiba pada jam 4.26 pagi dan operasi pemadaman berjaya dikawal kira-kira 14 minit kemudian.
Ketua Balai BBP Tambunan, Mitchell Francis George berkata, kebakaran melibatkan dua buah rumah jenis separuh kekal serta tiga buah kenderaan yang semuanya mengalami kerosakan teruk.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah satu tingkat yang musnah sepenuhnya dan sebuah lagi rumah terbakar kira-kira 90 peratus. Turut terbakar ialah sebuah Toyota Avanza, sebuah van dan sebuah Perodua Alza, masing-masing musnah 100 peratus,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut beliau, dua mangsa terlibat dalam kejadian itu. Seorang kanak-kanak perempuan ditemui rentung di dalam sebuah bilik dan mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Seorang lagi mangsa, wanita berusia 31 tahun, mengalami kecederaan ketika cuba menyelamatkan diri daripada kebakaran dan telah dihantar ke hospital menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut.
Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan tiga pancutan, menggunakan sumber air daripada jentera bomba serta pili bomba berhampiran. Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.00 pagi selepas pihak bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.
“Kami merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa. Kejadian ini amat menyedihkan dan pihak bomba akan terus memberi kerjasama penuh kepada agensi berkaitan bagi membantu siasatan,” kata Mitchell.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
