KENINGAU: Polis menahan dua remaja lelaki tempatan berusia 17 dan 19 tahun susulan penularan sebuah video tular memaparkan perbuatan khianat merosakkan tiang papan tanda jalan milik Jabatan Kerja Raya (JKR) di kawasan Sinoron–Tongod, di bawah pentadbiran Polis Diraja Malaysia (PDRM) Daerah Keningau.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Yampli Anak Garai berkata, laporan diterima kira-kira jam 12.08 tengah malam pada 2 Februari lalu berhubung penularan video berdurasi 22 saat yang memaparkan dua individu memanjat dan merosakkan papan tanda berkenaan.
“Bertindak atas maklumat diterima, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Keningau berjaya menahan kedua-dua suspek pada hari sama kira-kira jam 6 petang di Kampung Sinoron,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengaku terlibat dan mendakwa perbuatan itu dilakukan sekadar bergurau, tanpa menyedari aksi mereka dirakam. Rakaman video berkenaan dipercayai dimuat naik oleh rakan suspek ke status WhatsApp tetapan ‘public’ sebelum disunting dan dimuat naik semula ke laman Facebook sehingga tular, walaupun video itu kemudiannya dipadam.
Susulan tangkapan, polis memperoleh perintah reman selama tiga hari bagi membantu siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat dengan merosakkan harta benda milik kerajaan.
Polis menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang perbuatan jenayah dan menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan tindakan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam, selain menggalakkan penyaluran maklumat bagi membantu siasatan.
