TAWAU: Taktik membawa bahan api dalam kuantiti kecil bagi mengelak dikesan gagal apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau menahan sebuah bot kargo tempatan disyaki ‘runner minyak’ di perairan Tawau, pada pagi Selasa.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Ariffin Ghazali berkata, bot berkenaan dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan dari arah Tawau menuju ke Pulau Sebatik sebelum dipintas kira-kira 0.8 batu nautika utara muara Sungai Aji Kuning.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot yang dikendalikan seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun membawa 40 gelen petrol dianggarkan berjumlah 1,200 liter serta tiga tong gas LPG berisi, dipercayai cuba diseludup keluar tanpa permit. Juragan bot juga gagal mengemukakan lesen pendaftaran bot yang sah,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, bot, enjin serta semua muatan telah dirampas dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah lebih RM40,000.
Maritim Malaysia menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti penyeludupan bahan kawalan dan akan terus mempergiatkan rondaan serta penguatkuasaan bagi memastikan perairan negeri ini sentiasa selamat dan bebas daripada kegiatan haram.
