TAWAU: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun selepas disyaki membuat ugutan jenayah terhadap bekas isterinya dalam satu kejadian di kawasan tapak jualan Bandar Sri Indah, di sini.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku apabila mangsa didatangi bekas suaminya yang berada dalam keadaan marah sebelum mengeluarkan kata-kata ugutan sehingga menyebabkan wanita itu berasa takut.
“Susulan laporan polis yang dibuat oleh mangsa, pihak polis telah menahan suspek di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tawau bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, suspek kini disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membuat ugutan jenayah.
ACP Jasmin menegaskan bahawa polis memandang serius sebarang bentuk ugutan atau gangguan yang boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam, khususnya melibatkan kes keganasan atau ancaman terhadap individu.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya segera membuat laporan polis sekiranya berdepan dengan sebarang bentuk ugutan bagi membolehkan tindakan segera diambil.
