TAWAU: Sebanyak 40 buah rumah setinggan musnah dalam satu kebakaran besar yang berlaku di Kampung Titingan, di sini, pada pagi Isnin, mengakibatkan puluhan keluarga kehilangan tempat tinggal dalam sekelip mata.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.15 pagi itu, kebakaran melibatkan rumah jenis tidak kekal dengan keluasan keseluruhan sekitar 131 x 147 meter persegi. Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terlibat atau mengalami kecederaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, TPgB Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 sebelum menggerakkan 25 anggota ke lokasi kejadian dan tiba lapan minit kemudian.
“Kebakaran merebak dengan pantas disebabkan struktur rumah yang rapat serta keadaan angin yang tidak menentu. Operasi pemadaman turut berdepan kesukaran akibat tekanan air yang rendah,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, operasi pemadaman dijalankan menggunakan tiga aliran sepanjang 900 kaki dengan enam pancutan, melibatkan sumber air daripada jentera bomba, lori tangki air, pili bomba serta air terbuka dari longkang berhampiran.
Operasi melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sabah Electricity, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Air, selain bantuan Bomba Komuniti Titingan serta Unit Dron Bomba bagi pemantauan dari udara.
“Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 11.54 pagi dan operasi ditamatkan pada jam 3.19 petang selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi,” katanya.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. Pihak bomba menasihatkan penduduk agar sentiasa berwaspada serta memastikan langkah keselamatan kebakaran dipatuhi, khususnya di kawasan penempatan padat dan rumah tidak kekal.
