TAWAU: Tindakan seorang wanita warga asing menggunakan kad pengenalan milik individu lain untuk mendapatkan rawatan di hospital terbongkar selepas semakan biometrik mendapati dokumen digunakan bukan miliknya.
Perkara itu dikesan apabila seorang penjawat awam di sebuah hospital membawa pesakit wanita berkenaan ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi tujuan semakan cap jari MyKad.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, hasil semakan mendapati wanita berusia lingkungan 80 tahun itu menggunakan dokumen pengenalan orang lain untuk mendapatkan rawatan.
“Susulan penemuan itu, satu laporan polis telah dibuat bagi tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau kemudian menahan suspek di perkarangan IPD Tawau.
Polis turut merampas sekeping MyKad yang dipercayai digunakan oleh suspek.
Beliau berkata, suspek bersama barang rampasan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
