KOTA KINABALU: Seramai lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Operasi Gegar yang dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah di sebuah pusat hiburan di sekitar Kota Kinabalu, pada awal pagi Khamis.
Operasi penguatkuasaan itu digerakkan oleh Unit Operasi Imigresen, Bahagian Penguatkuasa Kota Kinabalu, melibatkan kekuatan seramai 40 pegawai.
Sepanjang operasi, seramai 278 individu terdiri daripada warganegara Malaysia dan asing telah diperiksa.
Hasil pemeriksaan mendapati lapan PATI ditahan, membabitkan tiga lelaki dewasa dan lima perempuan dewasa yang dikenal pasti sebagai warganegara Filipina dan Indonesia.
Kesemua individu terbabit disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah.
Menurut kenyataan rasmi, operasi penguatkuasaan akan diteruskan secara berterusan bagi memastikan pematuhan undang-undang imigresen serta membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin di negeri ini.
