KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 terus memperkukuh kesejahteraan rakyat apabila Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) diperluaskan daripada 100,000 kepada 140,000 penerima, dengan peruntukan RM339.16 juta bagi tahun ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, peluasan SYUKUR selari dengan usaha membantu golongan miskin dan miskin tegar, selain melengkapi bantuan Kerajaan Persekutuan seperti Sumbangan Asas Rahmah.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Ketua Menteri kepada Penjawat Awam Negeri Sabah serta melancarkan SMJ 2.0 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Menurut Hajiji, SMJ 2.0 memberi tumpuan kepada empat teras utama iaitu pembangunan modal insan, kesejahteraan rakyat, infrastruktur serta kelestarian hijau.
Bagi pembangunan modal insan, sebanyak RM164.01 juta diperuntukkan meliputi peluasan biasiswa dan bantuan pendidikan, TVET, STEM, latihan pertanian serta literasi kecerdasan buatan (AI).
Katanya, bantuan pendidikan kerajaan negeri diteruskan menerusi 14 jenis bantuan bernilai RM203.4 juta, manakala peruntukan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) meningkat daripada RM55 juta pada 2021 kepada RM145 juta pada 2025, memanfaatkan kira-kira 480,000 pelajar termasuk pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersatu (UEC).
Dalam aspek perumahan, beliau memaklumkan Program Rumah Mesra SMJ telah memberi manfaat kepada 7,482 penerima dan akan diteruskan dengan pembinaan 50 unit bagi setiap kawasan DUN tahun ini, khusus untuk golongan berpendapatan rendah dan pasangan muda.
Bagi teras Infrastruktur dan Kelestarian Hijau, Hajiji berkata sebanyak RM6.8 bilion diperuntukkan di bawah RMK-13 bagi pembangunan infrastruktur, utiliti dan tenaga lestari.
Ini katanya, termasuk projek Lebuh Raya Pan Borneo, naik taraf loji rawatan air, pengukuhan grid elektrik serta projek tenaga OTEC, hidroelektrik dan tenaga biru. Infrastruktur digital turut diperluas melalui Pusat e-Desa, VSAT dan Starlink.
Beliau turut menjelaskan Ekonomi Biru diangkat sebagai pemacu strategik SMJ 2.0, merangkumi bioteknologi marin, perikanan pintar, marikultur moden, logistik dan pelancongan lestari. Seiring itu, kerajaan memperkenalkan Blue Financing melalui kerjasama dengan Maybank bagi penerbitan Sukuk Biru bernilai RM1 bilion, bermula dengan RM300 juta.
Hajiji menegaskan kejayaan SMJ 2.0 bergantung kepada kecekapan dan integriti penjawat awam sebagai nadi pelaksanaan dasar, sambil menekankan bahawa setiap keputusan dibuat demi kepentingan jangka panjang Sabah dan kesejahteraan generasi akan datang.
