KUDAT: Polis Daerah Kudat berjaya membongkar sekurang-kurangnya 13 kes pecah rumah dan curi selepas menahan lima lelaki tempatan dalam beberapa serbuan berasingan yang dijalankan awal Januari lalu di sekitar daerah ini.
Ketua Polis Daerah Kudat, Superintenden Mohd Haris Ibrahim berkata, tangkapan itu dibuat hasil operasi bersepadu oleh Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) dengan bantuan pasukan Taskforce IPD Kudat, susulan maklumat risikan berkaitan kegiatan jenayah terbabit.
“Pada 1 Januari 2026, polis telah menjalankan operasi serbuan dan tangkapan di dua lokasi berasingan iaitu di hadapan bangunan Koperasi Nelayan Kudat serta di tepi Jalan Pantai Bak-Bak, yang membawa kepada penahanan dua suspek lelaki tempatan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Menurut beliau, susulan tangkapan awal itu, polis meneruskan operasi dan berjaya menahan dua lagi suspek pada 4 Januari 2026 di Kampung Tanjung Kapor dan Jalan Pinangsog, sebelum seorang lagi suspek diberkas keesokan harinya di sebuah stesen minyak di Jalan Tamalang, Kudat.
Haris berkata, hasil tangkapan ke atas kelima-lima suspek itu membawa kepada rampasan pelbagai barangan yang disyaki hasil kegiatan curi, selain kesemua suspek mengaku terlibat dalam 13 kes pecah rumah dan curi di sekitar daerah Kudat.
“Ujian saringan air kencing mendapati tiga daripada lima suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 457, Seksyen 379, Seksyen 380 dan Seksyen 447 Kanun Keseksaan, manakala enam kertas siasatan telah dibuka bagi siasatan lanjut.
Dalam pada itu, Mohd Haris menegaskan pihak polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan jenayah dan menyeru orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat bagi membantu usaha membanteras jenayah di daerah Kudat.
“Kerjasama masyarakat amat penting bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara,” katanya.
