KOTA KINABALU: Kejayaan atlet Sabah menyumbang lima pingat emas pada Sukan Para ASEAN Ke-13 menjadi antara pencapaian yang akan diraikan pada Majlis Anugerah Sukan Negeri Sabah 2026, yang dijadualkan berlangsung 6 Februari ini dengan penyampaian 16 kategori anugerah.
Perkara itu dimaklumkan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, ketika menerima kunjungan hormat Jawatankuasa Induk Anugerah Sukan Negeri Sabah di Menara Kinabalu, Isnin.
Kunjungan tersebut diketuai Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Negeri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, yang turut menyampaikan jemputan rasmi serta taklimat penganjuran majlis dwitahunan berprestij itu.
Menurut Nizam, majlis berkenaan akan diadakan di Magellan Sutera Harbour Resort, dengan Anugerah Tokoh Sukan Negeri Sabah antara pengiktirafan utama yang akan disampaikan.
Sementara itu, Hajiji merakamkan penghargaan kepada atlet Sabah yang mewakili Malaysia di APG Ke-13 di Nakhon Ratchasima, Thailand (21–26 Januari 2026), yang secara keseluruhan menyumbang 10 emas, 15 perak dan 15 gangsa, termasuk lima emas daripada atlet Sabah.
Dalam temasya itu, atlet Sabah mencatat kejayaan dalam olahraga dan renang, selain sumbangan pingat dalam powerlifting, ping pong dan lawn bowls (Demo Sukan).
Dua atlet dari Tuaran, Abdul Halim Mohammad dan Ivan Jovic Suan, menonjol dengan sumbangan pingat emas masing-masing, manakala Wong Kar Gee mencipta rekod baharu APG acara lompat jauh lelaki T12 dengan lompatan 6.83 meter.
Turut hadir ialah Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Negeri Datuk Seri Dr Anil Sandhu; Setiausaha Tetap kementerian Datuk Mansur Haji Asun; Pengerusi Lembaga Sukan Sabah Encik Syed Ahmad Syed Abas; Pengarah Majlis Sukan Negeri Encik Mohd Asneh Mohd Noor; serta Pengurus Besar Lembaga Sukan Sabah Encik Terrance Edward Pudin.
